Mar 4, 2010

Karangan

Faktor-faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan berterusan sesebuah negara


Muhammad Waliyuddin Bin Ahmad Kamal (1043B)

Pernahkah anda lihat keadaan di negara-negara seperti Somalia? Pernah pulakah anda terasa hairan mengapa keadaannya sebegitu? Jika begitu, apakah yang membezakan mereka daripada negara yang lebih maju di arena dunia seperti Perancis dan Amerika Syarikat, ataupun juga Singapura? Pertumbuhan ataupun perkembangan sesebuah negara bergantung kepada kemajuan dalam aspek-aspek tertentu. Ada yang berunsur pendidikan warga negara, ada pula yang menekankan pertahanan awam, atau adakah ia secara kesuluruhannya bergantung kepada pihak pemerintah?

Singapura diiktiraf sebagai negara yang maju dan kian berkembang ekonominya. Banyak negara seperti Taiwan memantau keadaan pulau ini. Salah satu factor kejayaan ia adalah rakyatnya. Rakyat, atau warga negara sesebuah negara, memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi. Di Singapura, kerajaan menekankan keharmonian kaum, perkara ini turut membantu ekonomi Singapura. Mengapa? Ia kerana dengan keadaan aman negara ini walaupun berbilang kaum dan agama warganya, ia membolehkan kerajaan fokus kepada pembangunan negara tanpa merisaukan hal perkauman antara rakyatnya. Negara-negara kecil seperti Singapura bergantung kepada rakyatnya kerana mereka tidak mempunyai sumber semulajadi seperti minyak. Tanpa kesatuan dan perpaduan rakyat, negara akan menjadi kocar-kacir, lalu menghambat pembangunan negara. Bak kata, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Faktor yang kedua ialah infrastruktur. Infastruktur memainkan peranan yang penting terutama sekali di kawasan industri dan perkilangan. Perkhidmatan pengangkutan awam yang bagus, talian telefon dan internet yang lancar, dan pelan jalan raya yang sistematik memberi ilustrasi infrastruktur yang baik. Ianya dari segi pengangkutan, komunikasi dan juga keselesaan kehidupan seharian di negara itu.

Kenangan pahit yang pernah berlaku kepada Singapura semasa jajahan British telah memberi mereka rangsangan untuk mempertahankan negara tanpa bergantung kepada pertolongan orang lain. Negara-negara lain seperti China menekankan pertahanan awam negara itu bagi menjamin keselamatan rakyat sejagat. Tanpa pertahanan yang mantap, mereka boleh terjejas kepada serangan-serangan seperti pengganasan yang semakin aktif kebelakangan ini.

Pendidikan adalah salah satu aspek yang sering ditekankan kerajaan negara-negara maju. Dengan perkembangan sains dan teknologi, adalah penting bagi individu untuk mengecapi pendidikan yang tinggi agar tidak ketinggalan. Tambahan pula, antara kriteria utama dalam melihat pembangunan sesebuah negara adalah menerusi kadar pendidikan di negara itu. Lihat sahaja kepada negara-negara seperti Kanada, Norway, dan juga Singapura. Tanpa ilmu, hidup kita tidak ke mana, kata orang.

Sejak dahulu lagi, pihak pemerintah sedikit sebanyak menentukan pembangunan negara. Pemerintah dipertanggungjawabkan untuk membuat keputusan-keputusan rumit dan kadangkala juga tidak dipersetujui ramai, walaupun ia untuk maslahat rakyat itu sendiri. Tanpa pemerintah yang bagus, sebuah negara itu bagai orang buta kehilangan tongkatnya; tidak tentu arah, dan tiada arah haluan, boleh dikatakan juga sesat.

Kelima-lima faktor: rakyat, infrastruktur, pertahanan, pendidikan, dan pemerintah menyumbang kepada pertumbuhan berterusan sesebuah negara. Seperti organisasi atau firma, perjalanan menuju pembangunan negara bukanlah perjalanan yang mudah. Ia memerlukan pimpinan teguh, ilmu yang mantap dan mendalam, keselamatan semua pihak dari unsur-unsur luaran, pelan yang sistematik, dan juga perpaduan semua yang terlibat.



445 Perkataan